Nuffnang

Tempah hadiah istimewa

Friday, February 10, 2012

Perkongsian di hari Jumaat : Khutbah terakhir Rasulullah


Alhamdulillah, hari ini ibu telah berpeluang menghadirkan diri di dalam sebuah majlis ilmu yang diadakan di ofis ibu sempena Maulidurrasul. Ibu melangkah masuk ke dewan lebih kurang jam 930 pagi. Alhamdulillah, dewan telah penuh dengan pelajar sehingga ada yang duduk di atas tangga dan kerusi tambahan. Ibu duduk dibarisan hadapan yang telah di khaskan untuk pensyarah dan staf.

Majlis dimulakan dengan bacaan yassin. Selesai bacaan yassin, penceramah jemputan pun tiba dan selepas itu kami beramai-ramai berselawat ke atas nabi. Kemudian majlis diteruskan dengan ceramah dan perkongsian ilmu dari penceramaj jemputan iaitu Tuan Haji Mazlan bin Mohd. Gouth.


Beliau berceramah dengan caranya yang tersendiri dan santai. Dalam lawak jenaka yang dilakukan, terselit bermacam-macam pesanan, petua dan kata nasihat kepada semua. Dan, paling ibu terharu takala beliau menceritakan kisah seorang bekas paderi dari Singapura yang telah memeluk islam. Bukan perjalanan kisah paderi itu memeluk islam membuatkan ibu terharu, tapi bagaimana rintihan dan pesanan bekas paderi itu tentang betapa beruntungnya orang yang lahir di dalam islam. Tidak seperti beliau yang lahir di dalam keadaan kafir. Insya-Allah, di suatu masa yang tenang, akan ibu kongsikan kisah ini bersama dengan beberapa petua menarik yang beliau berikan dengan pembaca blog ibu sekalian.

Majlis tadi di akhiri dengan perkongsian khutbah terakhir Rasulullah. Mungkin ada pembaca blog ibu yang sudah boleh hafal dan khatam pun dengan khutbah tersebut tapi telah berpesan Rasulullah di dalam khutbah terakhirnya itu :
"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU."
Marilah sama-sama kita menghayati pesanan yang disampaikan oleh Rasulullah kepada kita. Khutbah ini telah disampaikan oleh baginda pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijriah, di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.
Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam Susana kasih saying. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-katku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.
Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU."

No comments:

Related Posts with Thumbnails