Nuffnang

Tempah hadiah istimewa

Saturday, May 26, 2012

Ziarah anakanda Iskandar

Bismillahirahmanirahim.

Maaf pada yang menunggu entry mengenai lawatan saya ke HSA, tengahari 25 Mei 2012. Sedikit lewat untuk dikarang kerana tuntutan tanggungjawab melayan anak-anak saya yang seramai 3 orang perlu diutamakan, sehingga mereka nyenyak lena.

Sesungguhnya saya juga memerlukan tempoh bertenang dan berfikir supaya setiap yang saya titipkan ini tidak menyinggung atau memperkecilkan mana-mana pihak. Tiadalah niat saya untuk menceritakan kelemahan atau kekurangan sesiapa, apatah lagi berlagak seperti juara melainkan hanya untuk berkongsi pengalaman saya menziarahi anakanda Iskandar, siang tadi.

Saya membaca kisah Iskandar di blog Saudara Mazidul. Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, percubaan memindahkan Iskandar ke ICU gagal kerana tiada ambulan yang dilengkapi peralatan Unit Rawatan rapi, ICU.

Saya sama seperti Saudara Mazidul - Jika benar dakwaan ketiadaan ambulan dilengkapi kemudahan ICU menjadi penghalang utama, saya yakin masalah itu boleh ditangani.

Saya tidak mempunyai 'kabel' yang besar tapi saya cuba bertanyakan pada sepupu saya yang bertugas di dalam pasukan Tentera Udara. Saya tahu usaha saya ini, mungkin akan diketawakan orang, tapi sekurang-kurangnya saya berbuat sesuatu untuk membantu, berjaya atau tidak, belakang kira. Janji saya mencuba untuk membantu sebagai saya orang yang biasa-biasa.



Sepupu saya pernah bertugas di Kem Tentera Udara Bukit Luncu, Plentong namun kini telah bertukar ke Sabah. Dia turut menelefon saya memaklumkan bahawa Jabatan Bomba Negeri juga mempunyai helikopter dan boleh memberikan bantuan segera. Yang pasti katanya JPAM memang ada ambulans yang berkelengkapan ICU. Jika ada kelulusan/surat dari hospital, mereka sedia membantu.

Itulah serba sedikit maklumat yang saya dapat.

Saya menelefon ibu Iskandar tapi disambut oleh ayahnya, Encik Shahlizan. Dalam nada sebak (memang tak boleh nak tahan), saya bertanyakan hal Iskandar dan menyampaikan maklumat yang saya dapat serba sedikit mengenai bantuan penerbangan, jika alasan ambulan ICU menjadi isu.

Rupanya ayah Iskandar juga telah berusaha ke arah yang sama. Tapi katanya, dia pun tak berapa pasti kenapa Iskandar masih belum dipindahkan ke HKL. Saya bertanya samada kami (saya bersama seorang rakan sepejabat) boleh melawat Iskandar atau tidak? Encik Shahlizan mengizinkan, tapi katanya kena maklumkan awal. Waris perlu ada bersama semasa lawatan. Saya mengesahkan yang saya akan hadir menziarah.

Saya dan rakan bergerak ke HSA. Sambil memandu pun saya sudah menitiskan air mata. Belum lagi nampak depan mata. Kawan saya gelakkan saya. Adoiiii....dasar mak neng kan!

Iskandar ditempatkan di blok Bunga Raya (B), tingkat 1, HIDU katil nombor 3. Sampai di depan pintu, ada notis pesanan kepada pelawat. Hanya seorang pelawat dibenarkan masuk dan mesti ditemani waris (ayat yang tepat saya lupa, tapi maksudnya macam tu la).

Demi menghormati peraturan yang ditetapkan, saya SMS ayah Iskandar dan memberitahu yang kami ada di hadapan pintu wad. Tak lama kemudian, ayahnya datang. Beliau ke bilik khas yang disediakan pihak hospital untuk waris yang menunggu dan memberitahu kedatangan kami kepada isterinya.

Rupanya kami setengah jam awal dari waktu melawat bermula. Demi menghormati peraturan lagi, kami menunggu. Masa yang ada, kami lepak di ruangan menunggu sambil berkenalan dan bertanyakan kisah mereka. Rupanya Aminah, ibu Iskandar adalah orang senegeri dengan saya. Beliau berasal dari Kulim, Kedah. Encik Shahlizan berasal dari Pontian.

Mereka nampak sedikit tidak terurus. Iyalah, dah berapa lama berkampung di hospital. Mereka meluahkan rasa yang terpendam. Saya tidak mahu menceritakan luahan hati mereka di sini, takut jika ayat-ayat yang saya susun dibaca dengan nada yang salah, akan memberikan tafsiran yang berbeza.

Lagipun mungkin susunan ayat saya sedikit berbeza, takut menimbulkan percanggahan makna. Biarlah saudara Mazidul yang lebih arif menulis luahan mereka diblognya. Anda boleh baca di sana, kerana apa yang saudara Mazidul coretkan, sampai seperti apa yang saya dengar dari mereka.

Setelah waktu melawat tiba, ibu Iskandar mengajak saya masuk. Walaupun saya bersama rakan saya, kami bersetuju untuk bergilir-gilir masuk sebab dan ada notis kat depan pintu. Takut, ada pulak yang kata tak faham bahasa. Saya masuk dulu dan rakan saya tunggu di luar.

Sampai di katil Iskandar. Saya terdiam. Mata terus bergenang.

Allahuakbarrr... hanya itu yang mampu saya ucapkan dulu sambil air mata saya berjuraian. Tak tahu macamana saya nak gambarkan.

Iskandar nampak sangatttttt kurus. Tiub ada dihidung dan di mulutnya. Kulit mukanya sedikit pucat. Matanya kelihatan sangaattt cengkung dan layu. Badannya nampak kurus walaupun dalam gambar nampak macam berisi. Dadanya berombak laju, macam baru habis lari pecut 100m. Pernafasannya nampak sangat terganggu hinggakan lehernya berlekuk dalam setiap kali dia mengambil nafas. Mulutnya tercungap-cungap sambil lidahnya menjilat bibirnya yang kering. Dahaga barangkali.

Diluar tadi, Aminah memberitahu yang morfin sudah dihentikan dan Iskandar sudah sedar. Bantuan oksigen telah dikurangkan kepada 60% berbanding semalam 70% dari mesin. Cuma tangan Iskandar masih diikat (tidak menyakitkan) kerana Iskandar lasak dan hendak mencabut wayar yang melingkari tubuhnya.

Aminah menyapu air zam-zam di bibir Iskandar. Agak lama saya tak mampu berkata apa-apa. Hanya air mata yang laju. Saya hanya merenung matanya yang layu, yang memandang ibunya. Mungkin rindu dan tercari-cari tadi. Kemudian Iskandar memandang saya kemudian ibunya kembali. Saya panggil namanya "Iskandar, sayang...".

Dia berpaling memandang saya. Ibunya berbisik manja pada Iskandar " tengok, sapa datang tu. Sayang ada banyak ibu sekarang...".

Ada seorang jururawat di hujung katil Iskandar sedang menulis laporan agaknya. Saya sengaja menegur dan bertanya "macamana keadaan Iskandar hari ni ya?".

Jururawat itu tidak menjawab, saya berdiri dekat dengan mejanya melihat apa yang sedang ditulisnya. "Boleh tak saya siapkan kerja saya dulu!". Nadanya sedikit tinggi, bunyi macam saya ni menyibuk dan mengganggu kerja dia. Saya dan Aminah saling berpandangan. Ok, saya tunggu dan tengok apa yang dia tuliskan.

Saya tanya lagi " apa yang awak tuliskan tu? Ok ke tak ikut laporan yang awak tulis tu". Saya nampak dia tulis angka-angka yang ada pada mesin bantuan pernafasan dan monitor denyutan jantung. Sengaja saya tanya, nak tengok apa penjelasan yang boleh diberikan.

"Ok, normal saja!". Bunyi masih acuh tak acuh. Saya dan Aminah berpandangan lagi. Wajah jururawat tu saya tak jelas sebab dia pakai mask. Nama pulak saya lupa nak tengok.

"Kalau nak tau pasal dia, tanya ibunya. Semua dah diterangkan pada ibunya". saya dan Aminah saling berpandang lagi.

"Apa yang diterangkan. Saya tanya dia, dia kata jawapan yang diberi 'sama saja'. Apa yang sama tu?". Jawab saya.

Jururawat itu mengulangi ayat yang sama dan katanya semua sudah dijelaskan oleh doktor kepada ibunya. Pandangan saya, rasanya tak salah kot kalau jururawat tersebut jelaskan kembali pada yang ingin tahu sekadar apa yang dia tahu sebagai jururawat yang membantu doktor. Lagipun, beliau baru saja selesai menulis report. Tiada penjelasan.

Saya beredar hampir dengan Iskandar dan keluarkan Iphone saya dan rakamkan gambar Iskandar dengan ibunya.

"Puan...puan...". Saya buat tak tahu.

"Puan...puan, tolong ya. Kat sini tak boleh ambil gambar."

"Ya ka, tak dak pun simbol tak boleh ambik gambar kat sini". Sambil saya menjengok-jengok mencari kot-kot ada simbol 'no camera'. Ilham ni saya dapat dari pembacaan kat blog saudara Mazidul, perihal adik Faris dulu.

"Saya nak puan delete gambar tu! Memang prosedur hospital tak boleh ambil gambar di dalam wad." Jawapan yang sama macam yang saudara Mazidul tuliskan dulu.

"Takpa. Saya nak simpan buat kenangan". Saya tunjukkan gambar tersebut pada nurse dan saya simpan Iphone di dalam beg tangan.

"Saya nak puan deletekan depan saya jugak. Kalau tak saya akan bagitau staff nurse".

"Ok, takpa. Saya boleh jelaskan pada dia". Balas ibu sambil berpandangan dengan Aminah. Aminah mengizinkan gambar dia dan Iskandar dirakam. Close up muka Aminah dan Iskandar.

Saya jenguk ke katil sebelah Iskandar. Ada seorang kanak-kanak kaku terbaring tidak sedarkan diri. Kata Aminah, dia kemalangan kereta dan ibu kanak-kanak itu meninggal dunia. Saya beristifar, tapi saya lega melihatnya kerana dia tidak sedarkan diri. Sekurang-kurangnya, saya tidak nampak kesengsaraan yang dialamiTidak seperti saya melihat Iskandar, tercungap-cungap, tak mampu nak meluahkan apa yang dilaluinya kini.

Seorang staff berbaju biru menghampiri saya, berdiri hampir sungguh dengan saya.

"Puan, tadi puan ada ambil gambar ya ". Lembut sekali nadanya, penuh diplomasi bunyinya.

"Ya saya. Saya ambil buat kenangan".

"Bukan apa puan. Sekarang ni handphone canggih, boleh masuk facebook, internet. Saya takut nanti orang kata kami tak buat kerja". Jelas ketua jururawat tersebut dalam nada yang sangat bersopan dan lembut. Memang hati saya kembali sejuk setelah panas dengan sikap 'kerek' jururawat yang mula tadi.

"Puan..puan ni dah berfikiran negetif dan salah faham. Bila masuk blog atau facebook, tak semestinya nak tunjukkan yang puan tak buat kerja. Kalau orang kata puan tak buat kerja sekalipun, tapi Allah tau macamana puan ikhlas buat kerja. Apa nak takut orang kata". Pujuk saya membetulkan salah faham dan tanggapan negetif.

Saya terangkan betapa banyaknya kebaikan isu macam ni keluar di internet. Sekurang-kurangnya, pihak hospital akan buka mata dan terus berikan yang terbaik kerana bimbang orang kata tak buat kerja. Saya timbulkan isu allahyarham adik Faris dulu, sekurang-kurangnya ramai yang membantu hingga bil hospital dapat dijelaskan. Bukan hanya untuk cari salah dan silap. Ada teguran yang membina.

Beliau tersenyum dan nada suaranya tetap enak didengar. Saya berjanji padanya bahawa gambar yang saya ambil tu buat tatapan saya dan tidak akan dimuatkan di internet. Banyak yang kami bualkan hinggalah kepada topik - memberikan yang terbaik.

Kata Ketua Jururawat, mereka sentiasa memberikan yang terbaik. Saya bersetuju dan memohon untuk buat yang lebih baik. Saya persoalkan kenapa sampai sekarang Iskandar masih tidak dibawa ke HKL. Staff tersebut menjelaskan beberapa jawapan kepada persoalan saya tadi. Katanya :
  1. Keadaan Iskandar yang tidak stabil dan masih bergantung pada bantuan pernafasan (terus ke peparu) menyebabkan mereka tidak dapat menghantarnya.
  2. Doktor hendak merawat Adenovirus dulu. Katanya Iskandar diberikan 3 jenis antibiotik tapi antibodi Iskandar perlu kuat untuk melawan virus terkini itu.
  3. Wad di HKL yang terhad. Tak banyak katil dan perlukan persetujuan pakar di sana dulu baru boleh dihantar.
  4. Dimaklumkan juga bahawa doktor pakar di HKL, Doktor Asiah sedang bercuti.
Ada juga penjelasan yang boleh saya pegang, berbanding jawapan yang pertama tadi- semua dah diterangkan pada ibunya!

Saya memohon pada staff tersebut, agar diusahakan penerbangan dengan kapal terbang tentera atau helikopter ke KL sebagai contoh memberi yang lebih baik. Beliau berkata, itu diluar bidang kuasanya dan 'puan' (saya faham kita as waris) perlu berjumpa dengan pengarah sendiri.

Saya bertanya lagi, tak bolehkah kalau staff atau doktor yang sarankan pada pengarah untuk diusahakan penerbangan tu. Saya pasti, tentera anytime akan memberikan khimatnya kalau hospital memerlukannya. Tapi kalau saya perlu mengadap pengarah pun untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut, apa salahnya. Ramai lagi yang akan berjumpa kalau pengarah sudi.

Staff tersebut menjelaskan bahawa kalau ikut keadaan Iskandar, tak perlu naik kapal terbang . Katanya ambulans pun dah memadai. Dan untuk makluman, beliau menjelaskan bahawa 'mereka' (saya faham HSA) mempunyai ambulan yang canggih.

Saya kata, ini lah maksud memberikan yang terbaik tadi. Walaupun Iskandar boleh naik ambulan bila keadaan dah stabil, kenapa tak diusahakan dia naik kapal terbang sekarang atau bila dia makin stabil. Melalui jalanraya, perjalanan mengambil masa lebih kurang 4jam untuk sampai ke KL, tapi jika melalui jalan udara, mungkin 1 jam sudah landing di sana. Sedangkan kita tahu, apa-apa boleh berlaku di dalam perjalanan jadi mengapa kita perlu gunakan yang 'memadai' kalau kita boleh berikan yang lebih baik.

Banyak lagi yang saya cuba ketengahkan pda staff yang berpangkat Ketua Jururawat, tapi dia tiba-tiba memohon untuk mengundur diri dengan bersalam dengan saya. Ok lah, sekurang-kurangnya saya telah cuba menyampaikan idea saya dan mungkin boleh dipertimbangkan.

Saya membacakan Selawat Syifa yang selalu saya alunkan pada anak-anak saya. Saya hembus di kepalanya. Sayabukan doktor. Hanya doa yang mampu saya pohonkan agar Allah memberikan kesembuhan pada anak kecil itu. Saya usap badannya dan kakinya yang halus. Saya memang tidak dapat membendung air mata dari menitis laju apatah lagi bila membayangkan jika anak-anak saya yang berada pada situasi itu.

Mungkin hampir 20 minit saya di situ, saya beredar untuk memberikan peluang kepada rakan saya. Saya mengiringi rakan saya ke sinki di sebelah pintu untuk mencuci tangan kerana itu adalah prosedur masuk ke ICU. Staff berbaju biru tadi tiba-tiba menegur saya lagi dan bertanya adakah rakan saya itu 'kawan blog' juga?

Saya jelaskan, ini rakan sepejabat saya dan dia pun nak menziarah Iskandar. Staff tersebut memohon pada saya agar jangan diheboh-hebohkan di internet, facebook atau blog. Takut ramai yang datang melawat nanti, susah nanti. Lagipun katanya, kawasan ini tak boleh masuk sesuka hati.

Saya malas nak menjawab di situ. Saya iyakan saja. Pada saya, apa salahnya kalau berita ini diketahui ramai. Lagi ramai yang tahu, lagi ramai yang meberikan doa. Jika ada yang datang melawat pun, semuanya ada budi bahasa dan tahu peraturan. Takkan ada yang nak buat bising sesuka hati. Lagipun kanak-kanak bawah 12 tahun memang tidak boleh memasuki kawasan wad pun.

Cuma pesanan saya, dapatkan dulu kebenaran dari Aminah atau suaminya, Shahlizan terlebih dahulu. Jika mereka mengizinkan, kita ziarah. Jika sebaliknya, mungkin ada hal yang tidak mengizinkan lagi. Cukuplah dengan iringan doa saja.

Kawan saya yang masuk selepas saya berbeza pula pengalamannya. Katanya, semasa beliau menunggu di luar, beliau berbual dengan sepasang suami isteri yang turut menunggu anaknya di wad yang sama. Doktor memberitahu yang anak mereka sudah tiada harapan lagi.

Bila tiba giliran, rakan saya itu singgah di katil anak kepada pasangan suami isteri tersebut. ibu anak kecil itu ada disisi katil dan sebab itu rakan saya menyinggah. Dia hanya berdiri di hadapan katil dan membacakan surak Al-Fatihah kepada anak tersebut. Ada suara dibelakangnya memanggil-manggil "puan..puan", tapi beliau meneruskan bacaannya.

Jururawat (tak pasti yang mana) mengatakan yang pesakit di dalam ni tidak boleh dilawat sesuka hati. Isssh...kalau dah ibunya mengizinkan, kenapa pula dikatakan sesuka hati. Rakan saya menjelaskan, yang beliau hanya membacakan surah Fatihah, itu saja.

Selesai ziarah, Aminah kelauar di luar wad dan kami bersalaman. Suaminya juga ada di depan wad. Saya tak mampu nak ucapkan apa-apa semasa kami berpelukan, hanya sabar...sabar...sabar sambil kami menangis bersama-sama.

Saya tidak kenal Aminah sebelum ini walaupun kami senegeri, apatah lagi suaminya Shahlizan. Saya tak punya harta atau wang ringgit yang banyak untuk dihulurkan. Saya hanya ada kudrat dan doa untuk saya hulurkan. Saya hanya ada semangat untuk dikongsikan dengan ayah dan ibunya bahawa saya prihatin dan ambil kisah, bahawa mereka tidak bersendirian. Masih ramai yang peduli dan berdoa disamping berusaha apa yang terdaya.

Dan saya harapkan, dengan perkongsian kisah ini, maka makin bertambahlah doa yang dittitipkan pada anakanda Iskandar.

Update Iskandar boleh diikuti pada page FB yang diusahakan ayah dan ibunya, Save Iskandar. Save our son.



1 comment:

Nurul said...

Semoga si kecil iskandar akan terus kuat dan sihat..amiin..

Mempunyai pengalaman menjaga anak di ICU, sedikit sebanyak aku tahu tentang prosedur di ICU. Prosedur yang sama juga seperti di HKL. Memang bila di ICU, tak ramai yang boleh melawat terutamanya jika pesakit adalah kanak2. ini kerana pesakit2 terlalu fragile dan mudah dijangkiti penyakit lain.

Aku doakan segala urusan anak kecil ini dipermudahkan ALLAH...amiin

Related Posts with Thumbnails