Nuffnang

Tempah hadiah istimewa

Tuesday, October 9, 2012

Hari ini 4 tahun yang lalu...





Tokwan (datuk) saya telah kembali ke rahmatullah lebih kurang jam 950 malam pada tarikh 9 Oktober 2008. Saya berada di sisinya hingga habis nyawanya. Bersama-sama saya ketika itu mak, mak lang, mak njang, pakcik, paksu dan tok (nenek) saya. Pakcik memimpinnya mengucap dua kalimah syahadah, sementara saya dan mak membaca yassin bersama-sama. Mak njang terhenti dipertengahan bacaan kerana terlalu sedih melihat wan yang sedang bertarung dengan maut walaupun dia hanya melihat dari belakang. 


Malam itu sebelum ajalnya, saya bersama mak dan maklang berada di sisinya. Saya memegang tangan kiri dan mak lang memegang tangan kanannya sambil mengusap perutnya yang tegang. Sesekali dia menggenggam kuat tangan saya, dan saya tahu ketika itu dia sedang menahan sakit di dalam perut. Dia membuka mata bila anak saya Nur Faaqihah menepuk-nepuk lengannya. 


Tokwan hendak mengubah posisi badannya, mengiring ke kanan. Kami membantu mengubah posisi mengikut kehendaknya. Saya mengusap pinggangnya agar hilang lenguh. Mak membaca selawat syifa sambil menghembus ke kepala dan dadanya. Selepas meneguk air, tiba-tiba beliau sesak nafas. Mak lang terkocoh-kocoh memanggil paksu dan pakcik, hanya itu dua anak lelaki yang beliau ada. Mak terus mencapai surat yassin dan membacanya. Saya bangun mengambil wudhuk dan ikut membaca bersama mak. Dipertengahan bacaan yassin kali kedua, beliau menghembuskan nafasnya. Saya nampak seperti dia tertunduk sambil menguap. Dan badannya yang saya pegang sepanjang bacaan yassin menjadi sejuk. 

Manusia hanya merancang Allah yang menentukan. Walaupun saya jauh dari keluarga namun saya berpeluang bersamanya hingga akhir hayatnya. Saya tidak menjaganya secara total namun ada juga masa-masa yang saya luangkan bersamanya hingga saat-saat akhir. 

Petang itu, saya dan mak berbincang hendak memasak bubur yang sedikit istimewa untuk wan pada esok harinya. Biasanya beliau makan bubur nasi kosong. Saya bercadang hendak memasak seperti bubur yang saya masak untuk Faaqihah, ada sayur dan isi ikan kemudian akan dikisar. Pasti lebih menyelera dan menyihatkan. Apakan daya, hajat kami tak kesampaian. 

Moga Allah menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al Fatihah. 


♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥



Assalamualaikum.

Tulisan dan gambar di atas itu, ibu tulis 4 tahun yang lalu,  di malam perginya seorang lelaki yang punya tempat dalam hati ini. Walaupun semasa hayatnya, ungkapan 'sayang' tidak pernah terpancul dari mulut ini, tapi dia adalah seseorang yang istimewa di hati semua ahli keluarga.

Wan punya karektor yang tersendiri. Kuat semangat dan yakin dengan apa yang dia lakukan walaupun dia hanya seorang anak kampung dan tidak berpendidikan tinggi. Dia membina nama keluarga dengan penuh cekal sehingga dia pernah berpesan agar menjaga nama keturunannya.

"Jaga, jangan bagi ada titik hitam dalam keluarga kita!" - itu ungkapan yang masih terngiang-ngiang di telinga ibu hingga detik entri ni ditaip. Mungkin selagi hayat dikandung badan atau mungkin selagi akal ini masih waras mengingat.

Ibu adalah seorang cucu yang kuat memberontak dan ibu adik-beradik adalah cucu yang tinggal bersebelahan rumahnya. Setiap gerak laku dan perbuatan kami akan menjadi perhatian wan. Keluar dengan siapa, balik pukul berapa, cara sidai baju, cara basuh pinggan hinggakan cara senduk nasi pun diperhatikan. Wan memang teliti!

Kadang-kadang ibu penat menjadi bahan teguran. Buat macam ni, buat macam tu. Tak boleh itu, tak boleh ini. Sedangkan cucu-cucu yang lain bebas berbuat sesuka hati sebab tinggal jauh dari kampung. Sekali sekala pulang, pasti jadi kesayangan dan akan dilayan itu dan ini.

Tapi, bila wan dah tiada, baru kita akan menghargai. Itu memang adat. Ibu baru dapat merasakan betapa bertuahnya ibu menjadi bahan wan. Ibu hargai teguran wan akan cara basuh pinggan. Ibu hargai teguran wan akan cara cedok nasi dari dari periuk. Cara sidai baju yang betul kerana dari itu sudah boleh dinilai - perempuan itu rajin atau penyegan. 

Ibu bersyukur, kerana ajaran wan itulah membezakan ibu dengan remaja lain dalam banyak hal. Dalam kelompok remaja seusia, orang-orang tua sedikit pelik bila cara kerja ibu macam orang tua dulu-dulu, tak seperti anak mereka. Inilah berkat didikan tak formal wan yang membentuk karektor kami.

Hari ini, sudah 4 tahun wan meninggalkan anak-cucu dan cicitnya. Tapi, ibu yakin wan tenang di sana kerana wan meninggalkan legasi anak-anak yang soleh dan solehan, ilmu wan yang bermanafaat pada kami dan bantuan wan yang banyak pada yang memerlukan  semasa hayatnya.


 Suku anak-cucu-cicit dikuburan pada Aidilfitri lepas.


Awal Oktober ini, hati ibu tiba-tiba sayu, walaupun dalam seronok melayan Adam dan Hawa. Puas ibu mencari kenapa? Suatu malam ibu bermimpikan wan. Bila terjaga, ibu lupa akan isi mimpinya, tapi ibu pasti, wan adalah antara entiti yang wujud dalam mimpi ibu malam itu. Yang pasti, wan kelihatan sihat sempurna, seperti hayatnya.

Adakah wan datang menjenguk ibu, cucu perempuannya yang pertama, yang menjadi bahan usikan ketika kecilnya dan bahan tegurannya takala sudah dewasa. Allah maha kuasa.

Al-Fatihah buat wan!


No comments:

Related Posts with Thumbnails