Nuffnang

Tempah hadiah istimewa

Saturday, May 26, 2012

Ziarah anakanda Iskandar

Bismillahirahmanirahim.

Maaf pada yang menunggu entry mengenai lawatan saya ke HSA, tengahari 25 Mei 2012. Sedikit lewat untuk dikarang kerana tuntutan tanggungjawab melayan anak-anak saya yang seramai 3 orang perlu diutamakan, sehingga mereka nyenyak lena.

Sesungguhnya saya juga memerlukan tempoh bertenang dan berfikir supaya setiap yang saya titipkan ini tidak menyinggung atau memperkecilkan mana-mana pihak. Tiadalah niat saya untuk menceritakan kelemahan atau kekurangan sesiapa, apatah lagi berlagak seperti juara melainkan hanya untuk berkongsi pengalaman saya menziarahi anakanda Iskandar, siang tadi.

Saya membaca kisah Iskandar di blog Saudara Mazidul. Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, percubaan memindahkan Iskandar ke ICU gagal kerana tiada ambulan yang dilengkapi peralatan Unit Rawatan rapi, ICU.

Saya sama seperti Saudara Mazidul - Jika benar dakwaan ketiadaan ambulan dilengkapi kemudahan ICU menjadi penghalang utama, saya yakin masalah itu boleh ditangani.

Saya tidak mempunyai 'kabel' yang besar tapi saya cuba bertanyakan pada sepupu saya yang bertugas di dalam pasukan Tentera Udara. Saya tahu usaha saya ini, mungkin akan diketawakan orang, tapi sekurang-kurangnya saya berbuat sesuatu untuk membantu, berjaya atau tidak, belakang kira. Janji saya mencuba untuk membantu sebagai saya orang yang biasa-biasa.



Sepupu saya pernah bertugas di Kem Tentera Udara Bukit Luncu, Plentong namun kini telah bertukar ke Sabah. Dia turut menelefon saya memaklumkan bahawa Jabatan Bomba Negeri juga mempunyai helikopter dan boleh memberikan bantuan segera. Yang pasti katanya JPAM memang ada ambulans yang berkelengkapan ICU. Jika ada kelulusan/surat dari hospital, mereka sedia membantu.

Itulah serba sedikit maklumat yang saya dapat.

Saya menelefon ibu Iskandar tapi disambut oleh ayahnya, Encik Shahlizan. Dalam nada sebak (memang tak boleh nak tahan), saya bertanyakan hal Iskandar dan menyampaikan maklumat yang saya dapat serba sedikit mengenai bantuan penerbangan, jika alasan ambulan ICU menjadi isu.

Rupanya ayah Iskandar juga telah berusaha ke arah yang sama. Tapi katanya, dia pun tak berapa pasti kenapa Iskandar masih belum dipindahkan ke HKL. Saya bertanya samada kami (saya bersama seorang rakan sepejabat) boleh melawat Iskandar atau tidak? Encik Shahlizan mengizinkan, tapi katanya kena maklumkan awal. Waris perlu ada bersama semasa lawatan. Saya mengesahkan yang saya akan hadir menziarah.

Saya dan rakan bergerak ke HSA. Sambil memandu pun saya sudah menitiskan air mata. Belum lagi nampak depan mata. Kawan saya gelakkan saya. Adoiiii....dasar mak neng kan!

Iskandar ditempatkan di blok Bunga Raya (B), tingkat 1, HIDU katil nombor 3. Sampai di depan pintu, ada notis pesanan kepada pelawat. Hanya seorang pelawat dibenarkan masuk dan mesti ditemani waris (ayat yang tepat saya lupa, tapi maksudnya macam tu la).

Demi menghormati peraturan yang ditetapkan, saya SMS ayah Iskandar dan memberitahu yang kami ada di hadapan pintu wad. Tak lama kemudian, ayahnya datang. Beliau ke bilik khas yang disediakan pihak hospital untuk waris yang menunggu dan memberitahu kedatangan kami kepada isterinya.

Rupanya kami setengah jam awal dari waktu melawat bermula. Demi menghormati peraturan lagi, kami menunggu. Masa yang ada, kami lepak di ruangan menunggu sambil berkenalan dan bertanyakan kisah mereka. Rupanya Aminah, ibu Iskandar adalah orang senegeri dengan saya. Beliau berasal dari Kulim, Kedah. Encik Shahlizan berasal dari Pontian.

Mereka nampak sedikit tidak terurus. Iyalah, dah berapa lama berkampung di hospital. Mereka meluahkan rasa yang terpendam. Saya tidak mahu menceritakan luahan hati mereka di sini, takut jika ayat-ayat yang saya susun dibaca dengan nada yang salah, akan memberikan tafsiran yang berbeza.

Lagipun mungkin susunan ayat saya sedikit berbeza, takut menimbulkan percanggahan makna. Biarlah saudara Mazidul yang lebih arif menulis luahan mereka diblognya. Anda boleh baca di sana, kerana apa yang saudara Mazidul coretkan, sampai seperti apa yang saya dengar dari mereka.

Setelah waktu melawat tiba, ibu Iskandar mengajak saya masuk. Walaupun saya bersama rakan saya, kami bersetuju untuk bergilir-gilir masuk sebab dan ada notis kat depan pintu. Takut, ada pulak yang kata tak faham bahasa. Saya masuk dulu dan rakan saya tunggu di luar.

Sampai di katil Iskandar. Saya terdiam. Mata terus bergenang.

Allahuakbarrr... hanya itu yang mampu saya ucapkan dulu sambil air mata saya berjuraian. Tak tahu macamana saya nak gambarkan.

Iskandar nampak sangatttttt kurus. Tiub ada dihidung dan di mulutnya. Kulit mukanya sedikit pucat. Matanya kelihatan sangaattt cengkung dan layu. Badannya nampak kurus walaupun dalam gambar nampak macam berisi. Dadanya berombak laju, macam baru habis lari pecut 100m. Pernafasannya nampak sangat terganggu hinggakan lehernya berlekuk dalam setiap kali dia mengambil nafas. Mulutnya tercungap-cungap sambil lidahnya menjilat bibirnya yang kering. Dahaga barangkali.

Diluar tadi, Aminah memberitahu yang morfin sudah dihentikan dan Iskandar sudah sedar. Bantuan oksigen telah dikurangkan kepada 60% berbanding semalam 70% dari mesin. Cuma tangan Iskandar masih diikat (tidak menyakitkan) kerana Iskandar lasak dan hendak mencabut wayar yang melingkari tubuhnya.

Aminah menyapu air zam-zam di bibir Iskandar. Agak lama saya tak mampu berkata apa-apa. Hanya air mata yang laju. Saya hanya merenung matanya yang layu, yang memandang ibunya. Mungkin rindu dan tercari-cari tadi. Kemudian Iskandar memandang saya kemudian ibunya kembali. Saya panggil namanya "Iskandar, sayang...".

Dia berpaling memandang saya. Ibunya berbisik manja pada Iskandar " tengok, sapa datang tu. Sayang ada banyak ibu sekarang...".

Ada seorang jururawat di hujung katil Iskandar sedang menulis laporan agaknya. Saya sengaja menegur dan bertanya "macamana keadaan Iskandar hari ni ya?".

Jururawat itu tidak menjawab, saya berdiri dekat dengan mejanya melihat apa yang sedang ditulisnya. "Boleh tak saya siapkan kerja saya dulu!". Nadanya sedikit tinggi, bunyi macam saya ni menyibuk dan mengganggu kerja dia. Saya dan Aminah saling berpandangan. Ok, saya tunggu dan tengok apa yang dia tuliskan.

Saya tanya lagi " apa yang awak tuliskan tu? Ok ke tak ikut laporan yang awak tulis tu". Saya nampak dia tulis angka-angka yang ada pada mesin bantuan pernafasan dan monitor denyutan jantung. Sengaja saya tanya, nak tengok apa penjelasan yang boleh diberikan.

"Ok, normal saja!". Bunyi masih acuh tak acuh. Saya dan Aminah berpandangan lagi. Wajah jururawat tu saya tak jelas sebab dia pakai mask. Nama pulak saya lupa nak tengok.

"Kalau nak tau pasal dia, tanya ibunya. Semua dah diterangkan pada ibunya". saya dan Aminah saling berpandang lagi.

"Apa yang diterangkan. Saya tanya dia, dia kata jawapan yang diberi 'sama saja'. Apa yang sama tu?". Jawab saya.

Jururawat itu mengulangi ayat yang sama dan katanya semua sudah dijelaskan oleh doktor kepada ibunya. Pandangan saya, rasanya tak salah kot kalau jururawat tersebut jelaskan kembali pada yang ingin tahu sekadar apa yang dia tahu sebagai jururawat yang membantu doktor. Lagipun, beliau baru saja selesai menulis report. Tiada penjelasan.

Saya beredar hampir dengan Iskandar dan keluarkan Iphone saya dan rakamkan gambar Iskandar dengan ibunya.

"Puan...puan...". Saya buat tak tahu.

"Puan...puan, tolong ya. Kat sini tak boleh ambil gambar."

"Ya ka, tak dak pun simbol tak boleh ambik gambar kat sini". Sambil saya menjengok-jengok mencari kot-kot ada simbol 'no camera'. Ilham ni saya dapat dari pembacaan kat blog saudara Mazidul, perihal adik Faris dulu.

"Saya nak puan delete gambar tu! Memang prosedur hospital tak boleh ambil gambar di dalam wad." Jawapan yang sama macam yang saudara Mazidul tuliskan dulu.

"Takpa. Saya nak simpan buat kenangan". Saya tunjukkan gambar tersebut pada nurse dan saya simpan Iphone di dalam beg tangan.

"Saya nak puan deletekan depan saya jugak. Kalau tak saya akan bagitau staff nurse".

"Ok, takpa. Saya boleh jelaskan pada dia". Balas ibu sambil berpandangan dengan Aminah. Aminah mengizinkan gambar dia dan Iskandar dirakam. Close up muka Aminah dan Iskandar.

Saya jenguk ke katil sebelah Iskandar. Ada seorang kanak-kanak kaku terbaring tidak sedarkan diri. Kata Aminah, dia kemalangan kereta dan ibu kanak-kanak itu meninggal dunia. Saya beristifar, tapi saya lega melihatnya kerana dia tidak sedarkan diri. Sekurang-kurangnya, saya tidak nampak kesengsaraan yang dialamiTidak seperti saya melihat Iskandar, tercungap-cungap, tak mampu nak meluahkan apa yang dilaluinya kini.

Seorang staff berbaju biru menghampiri saya, berdiri hampir sungguh dengan saya.

"Puan, tadi puan ada ambil gambar ya ". Lembut sekali nadanya, penuh diplomasi bunyinya.

"Ya saya. Saya ambil buat kenangan".

"Bukan apa puan. Sekarang ni handphone canggih, boleh masuk facebook, internet. Saya takut nanti orang kata kami tak buat kerja". Jelas ketua jururawat tersebut dalam nada yang sangat bersopan dan lembut. Memang hati saya kembali sejuk setelah panas dengan sikap 'kerek' jururawat yang mula tadi.

"Puan..puan ni dah berfikiran negetif dan salah faham. Bila masuk blog atau facebook, tak semestinya nak tunjukkan yang puan tak buat kerja. Kalau orang kata puan tak buat kerja sekalipun, tapi Allah tau macamana puan ikhlas buat kerja. Apa nak takut orang kata". Pujuk saya membetulkan salah faham dan tanggapan negetif.

Saya terangkan betapa banyaknya kebaikan isu macam ni keluar di internet. Sekurang-kurangnya, pihak hospital akan buka mata dan terus berikan yang terbaik kerana bimbang orang kata tak buat kerja. Saya timbulkan isu allahyarham adik Faris dulu, sekurang-kurangnya ramai yang membantu hingga bil hospital dapat dijelaskan. Bukan hanya untuk cari salah dan silap. Ada teguran yang membina.

Beliau tersenyum dan nada suaranya tetap enak didengar. Saya berjanji padanya bahawa gambar yang saya ambil tu buat tatapan saya dan tidak akan dimuatkan di internet. Banyak yang kami bualkan hinggalah kepada topik - memberikan yang terbaik.

Kata Ketua Jururawat, mereka sentiasa memberikan yang terbaik. Saya bersetuju dan memohon untuk buat yang lebih baik. Saya persoalkan kenapa sampai sekarang Iskandar masih tidak dibawa ke HKL. Staff tersebut menjelaskan beberapa jawapan kepada persoalan saya tadi. Katanya :
  1. Keadaan Iskandar yang tidak stabil dan masih bergantung pada bantuan pernafasan (terus ke peparu) menyebabkan mereka tidak dapat menghantarnya.
  2. Doktor hendak merawat Adenovirus dulu. Katanya Iskandar diberikan 3 jenis antibiotik tapi antibodi Iskandar perlu kuat untuk melawan virus terkini itu.
  3. Wad di HKL yang terhad. Tak banyak katil dan perlukan persetujuan pakar di sana dulu baru boleh dihantar.
  4. Dimaklumkan juga bahawa doktor pakar di HKL, Doktor Asiah sedang bercuti.
Ada juga penjelasan yang boleh saya pegang, berbanding jawapan yang pertama tadi- semua dah diterangkan pada ibunya!

Saya memohon pada staff tersebut, agar diusahakan penerbangan dengan kapal terbang tentera atau helikopter ke KL sebagai contoh memberi yang lebih baik. Beliau berkata, itu diluar bidang kuasanya dan 'puan' (saya faham kita as waris) perlu berjumpa dengan pengarah sendiri.

Saya bertanya lagi, tak bolehkah kalau staff atau doktor yang sarankan pada pengarah untuk diusahakan penerbangan tu. Saya pasti, tentera anytime akan memberikan khimatnya kalau hospital memerlukannya. Tapi kalau saya perlu mengadap pengarah pun untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut, apa salahnya. Ramai lagi yang akan berjumpa kalau pengarah sudi.

Staff tersebut menjelaskan bahawa kalau ikut keadaan Iskandar, tak perlu naik kapal terbang . Katanya ambulans pun dah memadai. Dan untuk makluman, beliau menjelaskan bahawa 'mereka' (saya faham HSA) mempunyai ambulan yang canggih.

Saya kata, ini lah maksud memberikan yang terbaik tadi. Walaupun Iskandar boleh naik ambulan bila keadaan dah stabil, kenapa tak diusahakan dia naik kapal terbang sekarang atau bila dia makin stabil. Melalui jalanraya, perjalanan mengambil masa lebih kurang 4jam untuk sampai ke KL, tapi jika melalui jalan udara, mungkin 1 jam sudah landing di sana. Sedangkan kita tahu, apa-apa boleh berlaku di dalam perjalanan jadi mengapa kita perlu gunakan yang 'memadai' kalau kita boleh berikan yang lebih baik.

Banyak lagi yang saya cuba ketengahkan pda staff yang berpangkat Ketua Jururawat, tapi dia tiba-tiba memohon untuk mengundur diri dengan bersalam dengan saya. Ok lah, sekurang-kurangnya saya telah cuba menyampaikan idea saya dan mungkin boleh dipertimbangkan.

Saya membacakan Selawat Syifa yang selalu saya alunkan pada anak-anak saya. Saya hembus di kepalanya. Sayabukan doktor. Hanya doa yang mampu saya pohonkan agar Allah memberikan kesembuhan pada anak kecil itu. Saya usap badannya dan kakinya yang halus. Saya memang tidak dapat membendung air mata dari menitis laju apatah lagi bila membayangkan jika anak-anak saya yang berada pada situasi itu.

Mungkin hampir 20 minit saya di situ, saya beredar untuk memberikan peluang kepada rakan saya. Saya mengiringi rakan saya ke sinki di sebelah pintu untuk mencuci tangan kerana itu adalah prosedur masuk ke ICU. Staff berbaju biru tadi tiba-tiba menegur saya lagi dan bertanya adakah rakan saya itu 'kawan blog' juga?

Saya jelaskan, ini rakan sepejabat saya dan dia pun nak menziarah Iskandar. Staff tersebut memohon pada saya agar jangan diheboh-hebohkan di internet, facebook atau blog. Takut ramai yang datang melawat nanti, susah nanti. Lagipun katanya, kawasan ini tak boleh masuk sesuka hati.

Saya malas nak menjawab di situ. Saya iyakan saja. Pada saya, apa salahnya kalau berita ini diketahui ramai. Lagi ramai yang tahu, lagi ramai yang meberikan doa. Jika ada yang datang melawat pun, semuanya ada budi bahasa dan tahu peraturan. Takkan ada yang nak buat bising sesuka hati. Lagipun kanak-kanak bawah 12 tahun memang tidak boleh memasuki kawasan wad pun.

Cuma pesanan saya, dapatkan dulu kebenaran dari Aminah atau suaminya, Shahlizan terlebih dahulu. Jika mereka mengizinkan, kita ziarah. Jika sebaliknya, mungkin ada hal yang tidak mengizinkan lagi. Cukuplah dengan iringan doa saja.

Kawan saya yang masuk selepas saya berbeza pula pengalamannya. Katanya, semasa beliau menunggu di luar, beliau berbual dengan sepasang suami isteri yang turut menunggu anaknya di wad yang sama. Doktor memberitahu yang anak mereka sudah tiada harapan lagi.

Bila tiba giliran, rakan saya itu singgah di katil anak kepada pasangan suami isteri tersebut. ibu anak kecil itu ada disisi katil dan sebab itu rakan saya menyinggah. Dia hanya berdiri di hadapan katil dan membacakan surak Al-Fatihah kepada anak tersebut. Ada suara dibelakangnya memanggil-manggil "puan..puan", tapi beliau meneruskan bacaannya.

Jururawat (tak pasti yang mana) mengatakan yang pesakit di dalam ni tidak boleh dilawat sesuka hati. Isssh...kalau dah ibunya mengizinkan, kenapa pula dikatakan sesuka hati. Rakan saya menjelaskan, yang beliau hanya membacakan surah Fatihah, itu saja.

Selesai ziarah, Aminah kelauar di luar wad dan kami bersalaman. Suaminya juga ada di depan wad. Saya tak mampu nak ucapkan apa-apa semasa kami berpelukan, hanya sabar...sabar...sabar sambil kami menangis bersama-sama.

Saya tidak kenal Aminah sebelum ini walaupun kami senegeri, apatah lagi suaminya Shahlizan. Saya tak punya harta atau wang ringgit yang banyak untuk dihulurkan. Saya hanya ada kudrat dan doa untuk saya hulurkan. Saya hanya ada semangat untuk dikongsikan dengan ayah dan ibunya bahawa saya prihatin dan ambil kisah, bahawa mereka tidak bersendirian. Masih ramai yang peduli dan berdoa disamping berusaha apa yang terdaya.

Dan saya harapkan, dengan perkongsian kisah ini, maka makin bertambahlah doa yang dittitipkan pada anakanda Iskandar.

Update Iskandar boleh diikuti pada page FB yang diusahakan ayah dan ibunya, Save Iskandar. Save our son.



Tuesday, May 22, 2012

Abang Mie dan kereta kuningnya...

"Wei, aku baru tau Abang Mie dah meninggal...dia sakit apa wey". SMS dari kawan ibu, Ija awal pagi tadi sedikit mengejutkan ibu.

Dalam kalut menguruskan exam yang sedang berlangsung, ibu sempat membuka FB, menjejaki wall FB Abang Mie. Dan ucapan takziah memenuhi ruang wallnya. Mata ibu mula bergenang air mata takala membaca status kawan-kawan ibu yang mengenali Abang Mie. Ibu syahdu sorang-sorang depan pc. Entahlah, student perasan ke tak ibu pun tak pasti.

Abang Mie, seorang sahabat dan abang yang sangat disenangi ramai, memahami, sempoi dan baik hati. Ibu sedikit lewat mengenalinya berbanding rakan-rakan kembara ibu yang lain kerana mereka terlibat di dalam Ko-k Kor Mekanik semasa di universiti.

Ibu hanya mengenali Abang Mie semasa Kembara Induction Camp (KIC) tahun 2002/2003, itu pun selepas ibu dah graduate. Sebagai senior kelab, ahli-ahli junior akan menjemput seniors mereka untuk join sama dalam aktiviti tahunan kelab yang kami sayangi, Kelab Kembara.

Semasa KIC itulah ibu mula berbual mesra dengan dia. Walaupun hanya seketika kami bermesra di Hutan Sintok, tapi ibu rasa macam dah kenal lama. Masih ibu ingat masa aktiviti absailing, Abang Mie paksa ibu turun muka dulu. Katanya dah senior, turun kot belakang 'terkedek-kedek' tu hanya untuk beginner!

Bayangkan dengan ketinggian dinding yang hampir 10m (rasanya la), ibu terpaksa menyahut cabaran dan paksaan Abang Mie. Dah la lama tak buat aktiviti macam tu sejak grade uni, kena paksa pulak tuh.

Dengan tunjuk ajar dia, ibu berjaya melakukannya. Lepas tu, ibu nak buat sekali lagi, tapi dia dah tak bagi! hahahahahaha

Abang Mie terkenal dengan jip kuning 4X4 dia. Ibu ni pulak dah lama simpan niat nak memandu kereta macam tu. Ibu saja bagitau dia yang ibu teringin nak drive kereta macam tu. Selamba dia kata "Pi la, bawak kereta Bang Mie!". Huh!!!

Dengan muka tak malu, ibu pun drive kereta dia dalam Hutan Sintok dan pusing UUM. Siap singgah cafe lagi beli makan. Orang dah pandang-pandang, mungkin lain tuan kot sebab pemilik kereta tu dikenali ramai orang.

Kereta kuning Abang Mie.
Start tak payah pakai kunci, guna gunting saja buat ganti!

Itulah kali pertama dan terakhir ibu berjumpa Abang Mie. Lepas ibu pindah ke Johor, ibu hanya dengar khabar dari kawan-kawan yang Abang Mie sakit, dia mengidap kanser.

Ibu berjumpa semula dengan Abang Mie bila kami add friend di FB. Abang Mie masih macam dulu, suka mengusik dan bergurau lawak jenaka. Ada ibu tanyakan hal kesihatannya. Dia menjawab selamba. " macam ni la bila dah tua, ada sajalah Allah bagi penyebabnya".

Minggu lepas, kawan ibu Liana ada menelefon dan bagitau yang Abang Mie tengah kritikal. Ibu ada meninggalkan mesej di wall-nya bertanyakan keadaannya pada sanak saudara atau keluarga jika mereka terbaca, namun tiada jawapan.

Abang Mie dengan baju KIC 2011.
Sedikit kurus dan botak kesan kimo (barangkali) tapi tetap bersemangat outdoor!

Dulu masa ibu aktif dengan rekreasi, kami tiada pegawai pengiring semasa aktiviti. Lepas ibu graduate, setiap aktiviti mesti ada pegawai yang mengiringi mahasiswa dan mahasiswi. Dan Abang Mie lah antara orang yang tidak pernah menolak setiap kali ada aktiviti sebegini.

Ahli rekreasi UUM pasti akan terasa kehilangan Abang Mie. Ibu yang hanya seketika mengenalinya pun terasa dengan kehilangan ini.

Ramai orang yang ibu kenal yang dijemput Allah pada usia muda, adalah orang-orang yang baik hati dan disenangi ramai orang. Tidak terkecuali dengan Abang Mie.

Mungkin kerana Allah tidak mahu dia alpa dengan dunia atau terlibat dengan perkara yang lagha. Allah mahu memeliharanya dari segala kemungkaran dunia. Dan orang sebaik Abang Mie, pasti Allah tempatkan di tempat yang terbaik juga.

Kenangan memandu kereta kuning milik Abang Mie akan terus ibu ingati sebab kereta itu dan Abang Mie lah yang telah memenuhi impian ibu selama ini.

Tenanglah Abang Mie di sana. Al-Fatihah!

(gambar dari FB Abang Mie)

Saturday, May 19, 2012

Abang & Adik 1.10

19052012.
Hari ini hari Sabtu. Hari ini ibu macam biasa, balik kampung di Singapura.

Hari ini abang dan adik dan 1 tahun 10 bulan. Lagi 2 bulan, abang dan adik akan berusia 2 tahun.

Cepat sungguh masa berlalu. Sejak usia twin 3 bulan, ibu dah mula menjaga twin sendiri dengan bantuan ayah.

Masih ibu ingat saat abang dan adik demam panas serentak, kalut dan cuaknya hanya Allah saja yang tahu. Kena pula time tu ayah kerja malam. Terpaksa ibu minta ayah balik rumah walaupun ayah baru saja sampai kat tempat kerja, belum sempat mula kerja lagi pun.

Tapi alhamdulillah, lepas tu abang dan adik sihat saja. Jejak umur setahun, abang dan adik demam suam-suam kuku. Orang tua-tua kata, demam nak dapat akai!

Bab sakit ni, adik lah yang paling merisaukan ibu. Kalau dia selsema pun, ibu dah mula cuak. Selsema biasa pun akan buatkan adik sukar bernafas, berombak perut dan dada dia ibu tengok.

Bila dah selsema, batuk pun datang sama. Adoii...lagi sengsara ibu tengok. Kalau batuk dah teruk sangat, adik akan muntah-muntah sekali.

Walaupun orang kata bagus, sebab muntah tu yang akan keluarkan lendir dan kahak, tapi hati ibu tetap sayu tengokkan adik tercungap-cungap bernafas lepas tu.

Tapi yang bestnya, twin senang makan ubat. Kalau time nak makan ubat, macam nak bagi makan gula-gula pun ada. Berpusu-pusu berlari kat ibu bila nampak ibu pegang plastik beg ubat hehehe

Gaya adik makan ubat, abang tunggu turn.

Abang pulak!

Sekarang, abang dan adik sangat lasak. Almari tv dah jadi tempat pembaringan. Kerusi meja dan jadi tempat melompat dan stunt. Dasar anak lelaki kan, kembang kuncup jantung bila tengok abang dah panjat grill sampai kat atas.


Bab bercakap, abang dan adik tak jelas lagi butir bicaranya. Adalah beberapa words yang jelas buah butirnya :

"nak...nak...", sambil tunjuk pada apa yang dia nak.
" ayer...nak ayer", sambil tunjuk ke arah tong air kat dapur.
" nak tutu...tutu...tutu", sambil garu kepala dan merengek sebab dah ketagih susu.
"yakkk...yakk..", setiap kali berak abang akan bising walaupun tinja sebesar taik kambing.
" nenek...nenek nenek nenek nenek nenek!", haa...ni ibu rasa dia dok cerita pasal nenek.
" ayah ayah ayah ayah ayah ayah", mungkin depa sebut pasal ayah kot bila dah tak nampak ayah sebab ayah pi kerja.
"ma mama ma ma ma ma", belasah! Ibu pun balas sajala, iyaaa...
IBU? Time ibu pi kursus dulu, ayah kata baru depa sebut hahaha...

Adik dan abang suka lori dan bas. Dan dah pandai pun sebut "bashhhh".
Adik kalau nampak lori, dia akan kata "wowwww....lo-eee......"

Adik dan abang kadang-kadang pandai mendodoi. Kalau abang dah lali, adik kiss abang dan tepuk bontot abang macam yang ibu selalu buat sambil mulut berzikir 'hasbi rabbi jallallahh" dalam bahasa yang tersendiri. Kalau adik pulak yang lali, abang pun akan buat hal yang sama. Sejuk hati ibu melihatnya.

Kalau bab gaduh, biasalah! Bagai nak pecah rumah kalau depa berebut barang. Bab gigit menggigit tak payah cakap la. Ibu sampai dah tak tau nak halang macamana, sambil lalu saja depa lepas geram sesama sendiri.

Terlalu panjang kalau nak ibu coretkan. Baik hal yang memenatkan, meletihkan, sedih tetap menjadi hal yang terindah dalam hidup ibu.

Kadang-kadang ibu terasa bangga pada diri ibu sendiri. Membesarkan kembar dengan usaha sendiri dengan bantuan ayah yang kerja shift yang tak macam orang lain.

Walaupun sukar dan adakalanya menyebabkan ibu menagis sendiri, tapi alhamdulillah, Allah mengurniakan anugerah dan amanah ini pada ibu dan ibu berjaya mengharunginya setakat ini.

Bukan semua orang terpilih untuk untuk merasai nikmat yang Allah berikan pada ibu ni. It is a privillage moment untuk ibu....

Moga Allah terus memberikan ibu dan ayah kekuatan untuk menjaga amanah Allah ini dengan sebaik-baiknya..

Friday, May 18, 2012

Bulan paling banyak hari...

Ibu rasa bulan Mei adalah bulan yang paling banyak hari. Bulan lain pun banyak hari jugak tapi maksud ibu, hari-hari yang diraikan macam hari ibu, hari jururawat, hari guru, hari....hari apa lagi ekkk? Kata banyak hari?! Hahahaha

Pada ibu, bulan Mei paling sinonim dengan Hari Guru. Awal-awal lagi ibu dah dapat wish dari maktok " Selamat Hari Guru ". Hehehe terasa cute pulak bila mak sendiri wish kat anaknya!

Tahun ni ibu dapat hadiah dari anak-anak murid ibu. Kain pasang dan sehelai tudung. Alhamdulillah....

Bukan hadiah yang ibu inginkan, cukuplah sekadar ingatan dan rasa hormat. Memang berulang kali di dalam kelas ibu berpesan, hormat bukan bererti perlu cium tangan, sujud ke kaki.

Cukuplah sekadar menumpukan perhatian pada apa yang ibu sampaikan di dalam kelas dan siapkan tugasan yang ibu berikan. Itu saja.

Tapi dalam kelas, ibu memang suka mem'bebel' pada pelajar. Bebelan nasihat sebenarnya. Ibu luahkan perasaan takut ibu pada mereka. Ibu bimbang dan risau, kot-kot anak-anak murid ni tersimpang dari landasan. Moga Allah pelihara kita semua...



Nota kaki : sebelum 1130, ibu dah publish ok! Hehehe

Thursday, May 17, 2012

Bila KERTU...


Sila ambil tahu yer! Tambahan lagi bila usia masing-masing dan semakin meningkat ni. Walaupun kita kata, umur tu hanya angka, yang penting jiwa. Tetap terasa muda bila jiwa sentiasa muda.

Jiwa memang boleh rasa muda tapi kesihatan dan tubuh badan tetap menurun seiring dengan penambahan usia.

Awas semua!

Wednesday, May 16, 2012

Kehidupan

Sekian....

Tuesday, May 15, 2012

Rancangan Jahat

Pertama kalinya, entry ini bukan entry nak menunjuk-nujuk. Sila betulkan fikiran anda.

Ibu membaca al-quran. Ibu yakin ramai yang membacanya. Tapi berapa ramai antara kita yang memahami isi al-quran itu.

Ibu sendiri tidak faham akan ayat-ayat di dalam al-quran. Rugi rasanya, dulu belajar arab tapi hehehehe...main-main. Adalah 2-3 patah perkataan yang ibu tahu maknanya secara asas, tapi kalau dan masuk dengan fe'el-fe'el nya tu...ibu surrender!

Ibu ber'blog' hopping tadi. Jumpa satau kisah dan satu ayat al-quran ini.

Pada ibu, ianya adalah satu pesanan dan peringatan Allah pada kita, pada ibu terutamanya dan pada anda yang sudi menerima ingatan ibu ini.

Firman Allah Taala ;




Maksudnya :

Sambil bersikap sombong takbur di bumi dan berusaha merancangkan rencana jahat (terhadap rasul itu), dan tidak ditimpakan dengan rancangan yang jahat itu melainkan orang yang merancangkannya sendiri. Maka tiada yang mereka tunggu melainkan seperti berlakunya kebinasaan ke atas orang yang telah lalu. Kerana engkau tidak akan mendapati perubahan bagi Sunnatullah, dan engkau tidak akan mendapati Sunnatullah itu menyimpang.

[Fatir :43]

Moral :

Udah-udah la tu niat dan rancangan jahat kita pada orang, nak kenakan orang, nak susahkan orang.
Allah dah kata, orang yang merancang tu akan menerima kejahatan yang di rancangnya tu...

Bawa-bawa ler istifar dan bertaubat selagi ada hayat...Allah Maha Pengampun!

Friday, May 11, 2012

Jom berjihad!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ibu terjumpa sesuatu di FB.

Ibu sekadar berkongsi dan ibu mengharapkan agar sesiapa yang terbaca atau membaca blog ibu samada dengan niat yang baik atau sebaliknya, ibu memohon agar kalian tolong lakukan seperti gambar di bawah.

Kalau ada akaun FB, sila ambik tindakan. Kalau tak dak FB tapi nak create semata-mata nak melakukan jihad ini, silakan. Allah pasti akan membalasnya walaupun jihad ini seperti setitik air hujan yang jatuh di tengah lautan.

Jomm...



Wednesday, May 9, 2012

Part 2 : Cikgu oh Cikgu.

Hari ini kelas macam biasa. Masuk ke kelas, ibu nampak muka 2 pelajar ibu yang terlibat dengan kes kemasukkan ke tingkatan 6 semalam. Ibu bertanya kisah selanjutnya. Muka pelajar ibu nampak muram dan kecewa. Katanya cikgu tetap tak bagi dan suruh balik. Isi saja borang rayuan. Tunggu kalau ada kekosongan.

Oh cikgu! Awat sampai macam tu sekali cikgu yang seorang ini. Banyak lagi cara penyelesaian yang ada, yang boleh diusahakan asalkan peluang untuk mereka belajar tetap ada. Kenapa wujud cikgu yang sebegini? hhhmmm....

Dan pagi tadi, kerani sekolah semalam ada menelefon ibu dan memberikan nombor telefon pegawai di JPN yang bertanggungjawab menguruskan hal sekolah. Katanya PK tersebut suruh ibu berbincang dengan pegawai tersebut. Terus ibu dial nombor yang diberikan. Sayangnya, pegawai tersebut tengah dalam taklimat. Dia terus memutuskan talian. Ibu memang runsing. Terus berfikir mencari penyelesaian untuk membantu pelajar ibu ini.

Tiba-tiba, hp ibu dihubungi seseorang yang ibu gelar sebagai YB. Memang jarang kawan ibu, YB ni nak menghubungi ibu tanpa sebarang urusan yang penting. Tambahan pulak dia adalah orang yang penting-penting di HQ walaupun dia hanya orang biasa-biasa saja.

Kami bergurau senda memulakan bicara. Maklumlah, dah lama kami tak bekerjasama rasanya. Last ibu join team beliau sebelum ibu bertunang lagi, tahun 2006 rasanya!

"Ni mesti ada hal penting kau call aku ni?", ibu meneka.

"Ni ha...hhmm.... tadi aku ada TERBACA blog kau pasal student tingkatan 6 tu", dia memulakan bicara.

"TERBACA!? Ok..ok..terbaca". Seloroh ibu dan kami sama-sama gelak ketawa. Sengaja ibu tekankan perkataan TERBACA.

Ibu tak pelik kalau blog ibu ni glemer di mata kawan-kawan di HQ. Kalau tak, takkan ibu dapat gelaran sebagai "PEGAWAI KANAN YANG PUNYA BANYAK MASA UNTUK BLOGGING" dari orang biasa-biasa saja di KPT hehehehe

Beliau mengatakan yang beliau telah berbincang dengan pegawai atasan tentang hal ini. Dan katanya, pegawai tersebut mengatakan, kita (kolej) benarkan saja pelajar tersebut ke tingkatan 6 untuk orientasi tersebut. Lepas tu kita panggil balik pelajar untuk sambung kembali kuliah dan exam yang berasingan, khas untuk mereka sahaja mengikut tempoh pengajian yang berbaki tu.

Tq YB. Satu usul yang baik. Dan memang ibu terfikir hal yang sama. Tapi ibu punya idea ialah hendak wujudkan kelas khas di dalam minggu yang sama untuk pelajar yang terlibat sahaja. Maksud ibu, habis waktu persekolahan, terus datang ke kolej untuk belajar. Dan pelajar boleh menduduki exam bersama kawan-kawannya sebab menurut kata pelajar, cikgu hanya benarkan pelajar menghadiri peperiksaan sahaja.

Untuk makluman YB, ibu ada berbincang dengan pelajar tentang waktu pembelajaran tingkatan 6. Ibu usulkan cadangan YB tu kepada mereka, tapi kata mereka kelas tingkatan 6 bermula 715 pagi - 3.30 petang. Jem!!

Jadi, ibu kembali kepada idea ibu. Ibu dah paksa pelajar-pelajar tu untuk mendaftarkan diri hari ni jugak. Tapi salah seorang mereka dah nampak tawar hati untuk pergi mendaftar. Fuhhh...kecewa ibu!

"Awak pi daftar jugak. Ini untuk kepentingan masa depan awak sendiri. Jangan nak kecewa sedih bagai!". Ibu memaksa.

"Tengoklah puan". Kata pelajar ibu dalam nada kecewa dan putus asa.

Ibu ada meninggalkan kelas seketika dan ibu mengambil peluang menelefon pejabat sekolah untuk bercakap dengan PK tersebut bagi memohon jasa baik mereka menerima pendaftaran pelajar ibu hari ini. Kerani (bukan yang semalam) yang menjawab panggilan ibu meminta pelajar datang hari ini juga.

Ibu bersetuju, namum ibu ingin berbincang sedikit dengan PK berkenaan dengan kelas ibu pada minggu ini. Esok, ibu merancang untuk membuat ulangkaji LA2 dengan pelajar memandangkan exam akhir LA2 adalah pada Jumaat ini.

Kerani yang baik hati itu memberikan nombor telefon PK tersebut tapi kedengaran suara di sebelahnya marah-marah. Katanya, PK tak nak diganggu! Fuhhhh...hebatkan cikgu ini.

Tapi ibu sangat berterima kasih dengan kerani tersebut. Berkeras dia dengan kawan di sebelahnya dan tetap memberikan nombor telefon PK tersebut pada ibu. Ibu dengan dia kata "isshhhh...ni cikgu budak-budak tu laaa". heehehehe

"Puan bincanglah dengan PK. Saya pun kesian dengan budak-budak tu. Saya pun tak boleh nak buat apa", kata kerani yang baik hati tu sangat menyejukkan hati ibu.

"Itu lah, kalau boleh, nak sangat saya cakap sendiri dengan PK". Ibu memang cepat syahdu kalau orang cakap baik-baik ni.

"Tapi tu lah puan, kawan saya kata PK tak nak diganggu. Dia dah pesan. Takut pulak saya".

"Garang sangat ke PK ni?." ibu berseloroh.

"Ok saja...tapi mungkin sebab sibuk sangat kot. Tu yang garang skit". Pandai kerani tu kawal keadaan.

"Ok tak pa, nanti saya call dia bila dah tenang sikit. Terima kasih banyak-banyak!".

Habis kelas, ibu nak call PK sekolah tu. Oh time rehat. Nampak sangat ibu tak faham bahasa pulak. Tunggu. Ibu call pegawai JPN dulu, langsung tak berjawab. Ibu sms pun tak balas. Well...

Sambil dok melayan pc, jam dah 215. Ok call! Lama baru bersambut.

Suara lembuttttt sangat. Terus sejuk hati. Baik hati ni, suara boleh bawak berbincang. Ibu perkenalkan diri dan terus straight to the point!

Ibu bagitau situasi seorang pelajar yang menerima bantuan kewangan. Jika dia berhenti, pelajar tersebut perlu membayar semula bantuan kewangan yang telah diterima. Cikgu pun bagitau, yang dia terikat dengan arahan kementerian dan seluruh Malaysia mengikutnya, takkan dia nak langgar.

Ibu mohon jasa baik cikgu tu untuk benarkan pelajar hadir kelas hingga Jumaat ini sebab esok ada revision, dan Jumaat ada exam akhir - cikgu setuju!

Ibu minta win-win situation. Ibu bagitau ibu boleh buat kelas petang untuk pelajar tersebut. Dan cikgu tu dengan baik hati berkata dia bersetuju melepaskan pelajar jam 1.10 petang walaupun sepatutnya pelajar balik jam 330 petang.

Sejuk sikit jiwa kalau ada perbincangan macam ni. Kalau macam semalam, jem otak! Dan semasa pelajar ada exam akhir nanti, pelajar boleh hadir dengan syarat ibu berikan surat rasmi kepada sekolah. No hal cikgu! Bab-bab surat tu, celah gigi saja. Yang penting anak didik kita dapat peluang yang terbaik!

Cikgu, kalau dari semalam cikgu macam ni kan senang! Ibu pun tak susah hati. Anak-anak murid kita pun tak kecewa dan sedih mengenangkan nasib.

Kepada YB, sila khabarkan berita ini kepada pihak atasan. Alhamdulillah, perancangan kita berjaya. Yang penting, terima kasih sebab menjadi salah seorang pembaca blog ini! hehehee


Moral kisah ni yang ibu nak simpulkan :

1. Banyak jalan penyelesaian yang ada. Elakkan dari memberikan keputusan yang menyusahkan pihak lain. Cari penyelesaian sebaik mungkin. Pasti ada jalannya.

2. Jangan cepat buruk sangka. Macam ibu ni, ingat cikgu kejam sangat. Padahal, bila ibu diskas dengan dia, ok saja. Senang dan terus boleh bagi keputusan yang mudahkan pelajar. Ibu tak memang, sekolah pun tak kalah!

3. Selalulah berbincang jika ada kekusutan. Jangan buat keputusan melulu tanpa pertimbangan. Bayangkan kalau hal ni melibatkan menjatuhkan hukuman tanpa siasatan atau perbincangan, tak ke teraniaya orang-orang yang tidak berdosa. Ingat, BINCANG!BINCANG!BINCANG!

4. Berusaha dan terus berusaha untuk kebaikan, bukan untuk diri sendiri saja tapi untuk orang lain juga. InsyaAllah, Allah pasti bagi jalan-Nya!

Tuesday, May 8, 2012

Cikgu Oh Cikgu

Entri ini adalah luahan hati. Mungkin sedikit emo dan kasar barangkali. Minta maaf jika ada yang terasa hati. Tapi ibu perlu luahkan apa yang terbuku. Ini gunanya blog bila kita berurusan dengan orang yang buta, pekak dan tuli hatinya!

Hari ini ibu sedikit 'bengang' dengan seorang yang ber'title' CIKGU. Bukan semua ok, dengan seorang ni saja.

Alkisah, hari ini adalah hari pendaftaran bagi pelajar yang nak masuk tingkatan 6. Di sebabkan sistem pengambilan di kolej ibu ni menerima pelajar yang baru lepas SPM (tahun lepas) bagi program SMK, maka mereka yang ambik result SPM bulan lepas, adalah antaranya yang layak dan mendapat tawaran ke tingkatan 6.

Walaupun hari ni adalah hari kelas di kolej, ibu izinkan beberapa pelajar yang terlibat untuk ke sekolah menghadiri hari pendaftaran setelah guru di sekolah tersebut tidak mahu menerima wakil pelajar (ibu/bapa/saudara) untuk mendaftarkan nama mereka. Ok, ibu izinkan pelajar keluar.

Tak lama lepas tu, ibu bertembung dengan pelajar tersebut di tangga. Katanya cikgu nak surat akuan belajar sedang belajar. Mereka mengadu pada ibu. Cikgu telah memberikan kata dua kepada mereka, samada masuk ke tingkatan 6 atau meneruskan pengajian di kolej yang hanya berbaki 2 minggu.

Ibu tanya kepada pelajar samada mereka terangkan pada guru atau tak yang pengajian di kolej akan berakhir dalam tempoh 2 minggu saja lagi iaitu pada 25 Mei ini. Pelajar ibu mengatakan yang mereka sudah menerangkannya kepada cikgu tersebut tapi cikgu tersebut tidak mahu menerima alasan itu. Seolah-olah sudah tiada ruang perbincangan lagi.

Cikgu yang berjawatan Penolong Kanan (PK) itu menegaskan yang pelajar wajib menghadiri orientasi tingkatan 6 selama 2 minggu. Jika tidak hadir orientasi, pelajar tidak boleh masuk tingkatan 6!

Menyirap darah ibu!

Bayangkan, pengajian di kolej berbaki 2 minggu lagi dan selepas itu pelajar akan dapat sijil setelah 5 bulan belajar. Ikut waras akal ibu ni, takkan hanya kerana 2 minggu orentasi 'WAJIB' tingkatan 6, maka pelajar perlu meninggalkan kursus yang sudah hampir 5 bulan mereka lalui tanpa sebarang pengiktirafan kejayaan mereka.


Ibu terus menelefon pejabat sekolah dan di sambut oleh kerani kat situ. Ibu mohon untuk bercakap dengan pengetua sendiri untuk menjelaskan keadaan dan memohon pertimbangan dan pengertian mereka yang bergelar cikgu.

Sayangnya, ibu tidak dapat bercakap dengan pengetua. Sibuk barangkali. Tak lama kemudian, ibu dihubungi kerani yang sama untuk menyampaikan AMANAT PK yang 'hati kering' tu. Dengan tidak memberi ruang untuk ibu bercakap, kerani tu terus menerus bercakap yang ini adalah arahan dari PPD, sistem semester pada tingkatan 6 dan pelajar wajib hadir, dan terus meletakkan situasi pelajar perlu pilih mana yang mereka mahu - tanpa langsung ada timbang rasa.

Ibu terpaksa meminta untuk kerani tersebut berhenti bercakap dan mendengar penjelasan ibu kerana dia seolah-olah langsung tidak mahu mendengar penjelasan orang lain. Kepala ibu mula panas. Telinga mula bengang. Tangan dah naik ketaq-ketaq!

"Puan, saya pun seorang pendidik. Saya tahu tingkatan 6 tu lebih baik untuk masa depan pelajar. Dan saya galakkan pelajar ke sana. Tapi saya mohon budi bicara dan pertimbangan sekolah, pelajar ini hanya tinggal 2 minggu saja lagi. Sebab tu saya minta excuse untuk orientasi. Takkan hanya kerana nak hadir 2 minggu orientasi tu pelajar ni kena lupakan apa yang mereka dah buat selama 5 bulan ni. Berhenti tanpa ada apa-apa sijil dan bukti belajar."

"Tak boleh puan, PK kata pelajar perlu pilih. Tak pa la, kalau dia nak ke komuniti, teruskanlah. Tak payah masuk tingkatan 6 sebab orientasi tu wajib.", kata kerani tu.

"Bagitau PK tu, saya nak dia berfikir secara rasional untuk pelajar, demi kebaikan pelajar. Bagi segenap ruang dan peluang untuk mereka belajar. Jangan buat sesuatu yang menyekat mereka. Saya pun pelajar universiti, saya tau macamana minggu orientasi. Saya tahu penting. Tapi saya mintak budi bicara dan pengertian pihak sekolah untuk bagi sedikit kelonggaran.", nada ibu sedikit tinggi. Rasanya kalau Pk tu ada depan mata, mampus kena ceramah free!

"Tak boleh puan, ini arahan PPD. Kalau pelajar nak terus kat kolej, pelajar isi rayuan nanti".

"Saya nak confirmkan, kalau rayuan tu nanti pelajar dapat masuk atau tak? Atau rayuan tu hanya formality saja", ibu soal lagi.

"Isi dulu. Nanti kalau ada kosong, sekolah akan panggil". See! Kalau ada kosong! Kalau tak dak!? Tak ke tertutup peluang yang dah ada di depan mata hanya semata-mata kerana tak hadir orientasi saja! Memang bebal la PK ni!! Ibu cakap dalam hati saja la, bukan kat telefon.

"Ok takpa. Saya boleh berjumpa dengan pengarah PPD atau terus ke jabatan pendidikan negeri terus. Saya tak dak masalah nak bawa hal ini. Saya call sekolah ni sebab saya tak nak langgar step. Saya nak berbincang dulu dengan sekolah. Tapi kalau sekolah memang tak dak budi bicara, saya terpaksa bawa isu ni ke PPD atau JPN. Sebab pada saya, ini untuk kebaikan pelajar bersama. Bukan untuk saya pun!", ibu berkeras bila kerani tu mula berkeras.

" Puan ni siapa", tanya kerani tu.

"Saya PENSYARAH di sini ", sengaja ibu tekankan nada pensyarah tu.

Nak kekwat sangat! Helloooo...mentang-mentang mak-mak pelajar ibu ni surirumah dan tak bekerja, nampak tak dak confident, korang nak buat kekwat, nak belagak dan buat keputusan sesedap rasa. Semua orang kena ikut cakap korang saja. Mentang korang kerja ada gred ada pangkat. Makcik ni pun ada gred dan pangkat jugak ok! (hehehehe..eksyen skit ekk)

Marah ni..marah.... Ok, sambung cerita balik!

"Ok...ok..nanti saya bagitau PK hal ni. Mungkin dia tak faham kot", suara kat hujung sana kembali rendah dan lembut.

"Saya boleh benarkan pelajar berhenti dan masuk tingkatan 6, tapi puan tak rasa ke selama 5 bulan pelajar ni belajar kat sini, macam sia-sia, tak dak sijil dan tak bukti yang mereka belajar. Sebab tu saya nak bincang dengan pihak sekolah dulu. Saya tak dak masalah nak bincangkan hal ini dengan PPD atau pengarah JPN sekali pun. Saya harap sekolah dapat buat pertimbangan yang sebaiknya. Fikirkan demi masa depan pelajar. Bukan saya suka-suka hati mintak tangguh. Ada sebab. Dan bukan untuk saya pun, untuk kebaikan pelajar. Minta PK tu buat pertimbangan, fikir rasional demi pelajar. Jangan tutup peluang dan ruang untuk pelajar nak belajar", ibu sambung sikit ceramah free ibu pada kerani tu.

"Saya kalau boleh hendak bercakap sendiri dengan PK. Biar dia faham. Tanggungjawab kita sama. Mendidik anak bangsa kita. Bagi sebanyak mana ruang yang boleh. Jangan buat hal ini jadi sukar dan payah. Kita mudahkan urusan", dan lagi sambung.

"Ok..ok..puan. Nanti saya bagitau". Terus kerani tu letak telefon. Kalau dia tak letak, ibu nak sambung lagi. Banyak lagi isi-isi penting yang nak disampaikan ni. Hati tengah panas, ilham pun banyak. Silap banyak la korang ekkk, berjumpa dengan eden yang memang cepat membara kalau isu-isu macam ni.

Huhhh!! Memang panasssss sangat hati ni hari ni. Ibu faham, sekolah pun terikat dengan enrolment pelajar. Semua nak mencapai bilangan pelajar yang tertentu. Ada KPI masing-masing. Tapi please la, gunakan otak dan budi bicara demi kepentingan anak bangsa kita.

Betul. Peraturan perlu ada. Kalau tak, orang akan suka-suka hati buat itu dan ini. Tapi pertimbangan yang waras dan rasional pun perlu ada berdasarkan situasi. Bukan terus menggunakannya mebuta tuli, tanpa akal, tanpa pertimbangan.

Alahai! Cikgu oh cikgu!

Harap cikgu lain tak marah ekkk......

Sunday, May 6, 2012

Penyakit hati...

Tajuk entry saja ibu nak over buat propa! hahahaha tapi itulah penyakit manusia yang paling kronik selagi bernyawa. Dengki dan busuk hati pada orang lain, macam-macam di buatnya untuk susahkan dan sakitkan hati orang lain. Tapi yang bestnya, last-last diri sendiri yang tersusah..ahakss!

Udah-udah le tu yob! Cer bawak mengucap, istifar banyak-banyak, buat solat taubat pada Allah mintak ampun dan maaf.

Kalau ada niat busuk dan tak baik pada ibu, ibu dah ampunkan pun. Sebab ibu tak nak ada penyakit hati sebab sakit hati ni boleh timbulkan sakit lain.

Hati yang busuk boleh sebabkan stress dan darah tinggi. Dah ada darah tinggi kan senang dapat sakit jantung. Dah tu, geram orang, makan banyak-banyak coklat. Kena pulak diabetis. Dah tu gemuk, badan berat dapat pulak sakit lutut dan lain-lain menyusul.

Ada sakit 3 serangkai ni, errrmmm...semua tu dimulai dengan 'penyakit hati'.

Eh lupa!

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Ahad menjelma lagi. Seperti kebiasaan, ibu berada di Singapura melawat nenek. Sejak seminggu ni nenek memang tak berapa sihat.

Lepas discharge hospital Selasa lepas, nenek kena kena serangan sakit kepala
dan pening yang teruk. Bila ke klinik, tekanan darah nenek tinggi pulak mencecah 198/(ibu lupa berapa). Rupanya sejak warded, nenek tak diberi ubat darah tingginya. Sampai dah keluar hospital pun nenek tak makan pil tu.

Seminggu lepas, ayah pun tidur di Singapura. Tinggallah ibu bersama anak-anak di bumi Malaya. Gitulah gaya hidup ibu sekeluarga, bila nenek tak sihat, ayah akan bertugas di sana. Terpaksalah ibu uruskan rumahtangga dan anak-anak sendiri.

Ketiaadaan ayah seminggu bertambah kalut bila abang dan adik selsema dan batuk. Malam ke2 ayah tak balik, depa berdua batuk sampai muntah-muntah due to lendir dan selsema yang teruk.

Pukul 4 pagi baru twin lelap tido. Tu pun lepas ibu bagi gas sorang 2 pam. Ubat tu untuk adik, tapi sekali dengan abang ibu bagi bila tengok dada abang pun dah berombak laju.

Oh ya! Pada kawan-kawan ibu yang terlibat dengan konvokesyen di Segamat, ibu ucapkan selamat bertugas. Pada anak-anak murid ibu yang berkonvo, tahniah dan selamat berkonvokesyen.

Buat pertama kali dalam sejarah 10 tahun ibu di KK, ibu tidak terlibat dengan majlis tahunan ini.

Percaturan Allah melebihi segala perancangan manusia. Apa saja niat yang tersirat di lubuk hati kita Allah tahu. Dan Alhamdulillah dengan percaturan Allah ini, dapat ibu balik ke 'kampung' untuk menziarahi nenek dan makan kenduri sekali minggu ni.

Kalau tidak, mau serabut jugak ibu nak tinggalkan anak-anak dan keluarga. Biarlah mereka-mereka yang masih baru 2-3 kali bekerja semasa konvokesyen menghulurkan tenaga dan jasa.

Plan hari Ahad ini :
10.00 am : Ke Pasar Geylang (nenek dah rindu dengan Geylangnya), ibu nak ke kedai Richard di Joo Chiat Complex (mau shopping kain cotton...yuhuuuuuuu)

12.00 am : Bertolak ke majlis jemputan kenduri kahwin kawan nenek merangkap guru quran nenek yang teringin sangat nak jumpa nenek setelah sekian lama tak jumpa.

Balik jemputan, ada pasang niat nak ke IKEA!! Hahahahaa...kalau sempat ibu terjah, kalau tak, next time la! Takkan lari IKEA di kejar, iye dak???

Entry ini ibu tamatkan dengan pantun semangat yang ibu suka. Terdengar 'SA' ungkapkan, terus menusuk ke jiwa ibu. Ibu perlu semangat ini untuk terus berjuang sendirian di rantau orang.

Lima bentan masak di tingkap,
Budak-budak melempar burung,
harimau di hutan lagi ku tangkap,
Inikan pulak cicak mengkarung!

Rindu pulak pada kucing-kucing ni!

Wednesday, May 2, 2012

Rabu tanpa kata

Terkedu ibu bila jumpa benda ni di celah-celah rambut ibu.

Apakah ibu semakin kertu? Heheh

Kena gandakan amal ibadat untuk bekalan nanti....

Related Posts with Thumbnails