Nuffnang

Tempah hadiah istimewa

Sunday, January 27, 2013

Listen - budaya sejak zaman berzaman pun!

Assalamualaikum.

Januari 2013, perkataan LISTEN telah menjadi perkataan yang paling famous. Pasti, semua dah maklum akan insiden yang berlaku tu. Ibu tidaklah bermaksud hendak mempertahankan mana-mana pihak. Kalau ibu hujahkan pandangan ibu kat sini pun, ianya takkan merubah apa-apa. Takut nanti disalah tafsir pulak oleh puak yang memang menunggu mencari salah ;-)

Sejak ibu kecil lagi, budaya ini telah ibu lalui tanpa disedari. Budaya LISTEN ni dah lama wujud pun, dah sebati! Buktinya sejak dulu, apa saja yang diperkatakan oleh orang yang lebih dewasa tidak boleh dipertikaikan. Jika tak, pihak yang lebih muda itu akan dilabel sebagai 'kurang ajar' atau 'melawan' biarpun hanya kerana untuk mendapatkan penjelasan dengan lebih lanjut.

Ibu membesar dalam keluarga yang begitu. Anak muda tidak boleh mempersoalkan arahan orang dewasa, walaupun arahan itu kadang-kadang tidak munasabah. Yang kena, ibu akur walaupun dijiwa ada unsur memberontak tak nak. Dek kerana sifat ingin tahu yang meluap-luap, ibu kerap mempersoalkan sesetengah arahan yang tak logik di akal ibu. Dan hanya kerana itu, ibu dikatakan kuat melawan.

Banyak kalau nak dikongsikan, ada sikit ni sebagai selingan.

Situasi 1:

Masa ibu baru melahirkan kakak, ramai saudara mara datang menziarah di hospital. Orang baru melahirkan memang lah penat, ibu hanya terbaring di katil. Sambil bersembang-sembang, ibu meletakkan lengan di atas dahi. Tok segera menegur perbuatan itu. Katanya tak elok berbaring sambil lengan di dahi.

"Pasai apa tak boleh tok?". Sambil ibu menurunkan tangan mengikut arahan, mulut pun ringan bertanya mohon penjelasan tok disaksikan sanak saudara yang lain.

"Dengaq sajalah, orang tua-tua kata tak elok, ikut saja."
Jawapan yang diterima mendukacitakan. Mak tam yang ada masa tu ketawa tengok gelagat ibu dan tok. Katanya, tu la kita. Pantang sangat sampai tak 'tahwan' punca. Tak tau sebab apa, tapi tak boleh!

Situasi 2 :

Berkongsi pengalaman seorang kawan semasa di universiti dulu. Masa lepak-lepak, kawan ibu ada menceritakan pengalaman beliau dengan ayahnya satu masa dulu.

Ibu dah tak ingat bagaimana ianya bermula, tapi akhirnya, beliau dimarahi ayahnya. Biasakan kalau ibubapa marahkan anak-anak, pasti macam-macam bebelan dan persoalan yang akan keluar dari mulut. Samalah macam ayah kawan ibu ni. Samalah macam ibu pun!

"Kau ni besar nanti nak jadi apa ha???", marah ayah kawan ibu bersama luahan-luahan lain yang telah dilontarkan sebelum ini. Rasanya, ayat macam ni biasa diluahkan bila kita menyesali sikap seseorang, apatah lagi anak kan.

"Nak jadi doktor". Jawapan yang kawan ibu berikan seikhlas hati atas pertanyaan yang ayahnya luahkan. Rasanya masa tu kawan ibu masih di sekolah rendah.

Pangggg! Sebiji penampar menyinggah di muka. Terbahak-bahak ibu mengingati ceritanya. Hinggakan, saat ibu menaip ini pun ibu masih ketawa mengingati pengalaman kawan ibu tu

Menjawab! Patutnya diam dan dengar saja walaupun bertubi-tubi soalan ditanya, kan?

.........................

Itu cebisan kisah.

Ibu menggunakan kuasa veto ini bila berhadapan dengan orang yang buat-buat tak faham arahan walau dah berkali-kali diterangkan. Contoh mudah, bila students mempertikaikan etika berpakaian. Kenapa mereka tak boleh pakai begitu dan begini (melanggar etika berpakaian) sedangkan pensyarah boleh walaupun ada etika yang ditetapkan. Denggg!!! Jawab kau! Berpeluh jugak nak menerang sambil tu nak juga cover kawan-kawan.

Kalau berbual dengan kakak, kadang-kadang ibu mati kutu mencari penjelasan pada setiap persoalannya. Mengapa ibu? Kenapa ibu? Ingin saja ibu sanggah dia untuk diam dan jangan persoalkan apatah lagi kalau ia melibatkan hukum-hakam, tapi budak kecik mana nak faham.

Mencari ilham jawapan untuk difahami oleh budak yang belum mumaiyiz memang mencabar kesabaran. Mau saja ibu nak cakap - dengar saja cakap ibu. Tapi ibu masih bertahan kerana mahu berikan jawapan yang benar dan logik di akal, bukan jawapan yang mematikan mindanya untuk bersoal jawab. Ibu tak nak dia rasai jiwa yang ibu alami dulu. Kalau ibu dah penat dan hilang idea, ibu akan katakan "nantilah kakak, bagi ibu fikir dulu jawapan"! hahahaha

Walaupun isu LISTEN ni sudah menjadi bahan politik, tapi perjuangan membebaskan minda ni perlu dan sepatutnya bermula di rumah lagi. Bebaskan fikiran anak-anak mempersoalkan setiap arahan dan larangan. Penjelasan yang munasabah akan membuatkan mereka mengerti akan setiap arahan yang kita utarakan.

Tapi, memang akan sampai satu tahap arahan diam dan dengar ini boleh digunakan. Bukan sewenang-wenangnya. Mesti melalui semua penjelasan, apatah lagi kalau ianya melibatkan hukum Allah kan. Kalau banyak soal jugak, cakap je - ni hukum Allah, dengar dan patuh perintah!

Pada ibu, tak pelik kot kalau kita persoalkan arahan manusia untuk mendapatkan penjelasan yang mendalam. Memang sepatutnya pun kita kena faham, bukan menurut tak 'tahwan kepala ekoq'. Manusia saja pun, bukan Tuhan. Allah pun bagi penjelasan pada setiap larangan.

Kalau arahan manusia ni, yang baik, kita ikut selagi tak langgar hukum Tuhan. Takkan yang buruk pun nak telan. Sia-sia Allah bagi akalkan?

Wallahu 'alam.

1 comment:

Nurul said...

listen..listen..when i speak, u listen..ehehehe..

Related Posts with Thumbnails